Penulis Ilal Firdaus

(Bergambar bersama rakan-rakan di hadapan mural Palestin di Small Heath, Coventry Road, Birmingham, England.)



Merupakan anak kelahiran negeri Kedah. Graduan daripada University of Birmingham, United Kingdom ini adalah anak sulung daripada empat adik-beradik yang berhasrat ingin menyumbang kepada ummah melalui medium penulisan. Menggunakan blog sebagai langkah awal di samping menyumbang juga dalam penulisan artikel dalam beberapa laman web organisasi Islam yang lain.

Sejak kecil, penulis telah banyak mewakili organisasi atau institut yang dinaungi dalam pelbagai aktiviti bermula daripada umur 6 tahun lagi. Dikurniakan kelebihan membaca surat khabar secara terbalik pada umur 4 tahun, bakat beliau dikesan oleh tenaga pengajar pada zaman pra-sekolah untuk mendeklamasikan sajak pada hari keraian besar graduasi gabungan Taska-taska ABIM. Melangkah ke sekolah rendah, penulis mewakili sekolah dalam beberapa acara kecil dan besar. Antaranya mendapat pelbagai tempat, dan ada ketikanya cuma saguhati penyertaan, dalam Pertandingan Jazz Chants peringkat daerah, Choral Speaking peringkat negeri, pertandingan Sains Eureka peringkat negeri serta juara pertandingan melukis dan mewarna A&W peringkat sekolah. Selain itu, penyertaan dalam Pertandingan Boria telah menarik perhatian pihak RTM Negeri Kedah untuk merekod dan menyiarkan rakaman suara kumpulan boria tersebut di Radio negeri.

Melangkah ke sekolah menengah berasrama penuh, penulis merupakan ahli jawatankuasa generasi pertama tertubuhnya Kelab Pembimbing Rakan Sebaya. Terpilih untuk menyertai pelbagai program anjuran gabungan sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) antaranya kursus kejurulatihan facilitator bagi peringkat zon utara serta kursus kejurulatihan akademik peringkat zon utara ketika kerajaan pertama kali memperkenalkan Bahasa Inggeris sebagai medium bagi subjek-subjek kritikal. Beliau mula aktif dalam Kadet Remaja Sekolah ketika menyertai pertandingan kawad kaki dan mendapat tempat ketiga. Keupayaan beliau untuk mengikuti dan memahami pengajian bahasa Jerman melangkaui para pelajar batch pertama dikesan oleh tenaga pendidik ketika itu, lalu ditawarkan untuk menyertai program Deutsche Kultur Wochenende peringkat kebangsaan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Dalam pertandingan Explorace bahasa Jerman peringkat kebangsaan di Pulau Pinang sempena meraikan negara Germany yang ketika itu menjadi tuan rumah untuk FIFA World Cup, kumpulan yang dinaungi bersama berjaya mendapat tempat ketiga, dan berpeluang menikmati juadah evening dining di hotel terkemuka bersama Duta Jerman ke Malaysia ketika itu. Pada tahun-tahun akhir pengajian, beliau bersama beberapa lagi rakan telah terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan Rekacipta dan Inovasi Sains peringkat kebangsaan yang diadakan di Dungun, Terengganu. Alhamdulillah, sebagai satu pasukan yang utuh, buat pertama kalinya mereka memahat nama sekolah pada pencapaian Tempat Pertama bagi kategori Rekacipta. Dengan kejayaan itu, kumpulan tersebut berjaya melayakkan diri menyertai Hari Harta Intelek Negara bersama puluhan penyertaan bertaraf tinggi yang lain yang diadakan di Kuala Terengganu pada tahun yang sama.

Di bawah program Skim Pelajar Cemerlang Tajaan Ke Luar Negara, penulis ditempatkan di bawah foundation programme untuk menghabiskan 2 tahun pengajian International Baccalaureate. Melalui program ini, beliau didedahkan kepada pemilihan subjek yang lebih holistik meliputi sains sosial, agama, falsafah atau epistemologi (Theory of Knowledge), sains materi dan matematik. Pengajian International Baccalaureate merupakan program yang paling mencabar antara semua program asasi yang terdapat di Malaysia, jika tidak di dunia. Sekurang-kurangnya 220 kredit sahaja tertumpu kepada penyertaan wajib di dalam bidang sukan, persatuan dan aktiviti sukarelawan. Disebabkan itu, beliau berkesempatan melibatkan diri dalam beberapa program penting seperti acara Eco-Friendly di Pusat Sains Negara, program kesedaran kesihatan peringkat negeri Selangor di Olak Lempit serta beberapa acara kelolaan kolej di kawasan sekitar.

Melangkah ke alam universiti, biarpun bukan merupakan ahli persatuan secara rasmi, berpeluang untuk menjadi antara tenaga yang membantu sebuah persatuan dakwah di UK melaksanakan beberapa program. Antaranya, menjadi facilitator dalam program pre-departure di Klang, Selangor, dan facilitator untuk program perkemahan musim bunga di London. Ada ketikanya beliau tidak menyumbang tenaga sebagai faci tetapi menyertai program sebagai ahli biasa, termasuklah aktiviti perkemahan ketika musim sejuk di Sheffield dan juga musim panas di North Yorkshire.

Penulis pernah menyumbang dalam Pertubuhan E-Usrah Malaysia dan Pertubuhan IKRAM (tetapi tidak menjadi ahli rasmi pertubuhan). Nama penulis juga masih lagi diletakkan di bawah Persatuan Multaqa Asatizah dan Du'at (MURSHID) namun belum berkesempatan menjadi ahli secara aktif kerana kekangan waktu (dan faktor-faktor lain).

Selepas tiga tahun berkelana di England sebagai penuntut ilmu dalam bidang Biological Sciences, beliau menyambung pengajian dalam bidang Masters of Marine Science di Bangi, Selangor. Pernah menjadi Research Assistant bagi membantu penyelidikan TESL di Fakulti Pendidikan di UKM serta penyelidikan dalam pengaplikasian mikrobiologi ke atas sains akuakultur di Institute of Ocean and Earth Sciences di Universiti Malaya. Kini berkhidmat sebagai pensyarah kolej bagi program Cambridge A-Levels, Diploma & Pre-Diploma usahasama bersama UiTM serta Asasi Sains. Juga memegang jawatan Koordinator bagi program Asasi Sains.

Blog Ilal Firdaus ini (yang bermaksud Towards Firdaus atau Menuju Firdaus) merupakan blog peribadi beliau dalam usaha untuk berkongsi kehidupan sebagai seorang muslim yang cuba berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik, atas kesedaran bahawa setiap insan itu tidak sempurna, maka usaha ke arah kesempurnaan itu begitu penting.

"Aku diutuskan untuk sempurnakan kemuliaan akhlak." (Hadith daripada Abu Hurayrah)

Kenapa memilih nama blog sebagai Ilal Firdaus

Sudah tentu syurga merupakan destinasi hidup kita yang utama. Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menasihatkan:

"Apabila kamu meminta kepada Allah, mintalah al-Firdaus, syurga yang terbaik dan tertinggi." (Sahih Bukhari)

Ilal Firdaus sebenarnya satu seruan dan ajakan ikhlas untuk diri penulis sendiri dan orang-orang yang tersayang. Sebuah ajakan ke arah bersama-sama berusaha meraih Al-Firdaus.

comments powered by Disqus