Sunday, April 19, 2015

Kitakah Yang Membina Rumah Itu? (Bahagian Akhir)

Sudah menjadi lumrah untuk kita lebih menghargai sesuatu yang kita peroleh dengan jerih payah berbanding sesuatu yang kita dapat dengan mudah. Begitu juga dengan nostalgia rumah. Di dalam lagu The House that Built Me, diceritakan bahawa ibu beliau mengambil masa bertahun meneliti majalah untuk mencari design rumah yang terbaik, dan setelah itu bapanya bersusah payah membina rumah idaman keluarganya. Satu demi satu papan dipaku. Sehingga terbinanya rumah yang satu itu.

Sudah tentu perasaan penghuni yang tinggal di rumah yang dibina olehnya sendiri lebih menghargai nilai sentimental sebuah rumah. Pernah saya melawat sebuah rumah seorang sahabat di kawasan yang berjiran dengan Kuala Selangor, dan diceritakan pada saya oleh ibunya akan waktu-waktu susah bapanya yang perlu mengangkat kayu-kayan dari jauh untuk dijadikan rumah tempat untuk berteduh. Di hadapan rumah itulah dulunya terletak sebuah sungai yang dijadikan tempat mandi dan bermain, dan di sudut tepi rumah tersebut terletaknya tempat disemadikan kucing kesayangan beliau. Menara masjid di sebelah rumah pula dijadikan tempat untuk dinaiki untuk melihat sekitar kawasan kampung. Zaman kecil saya juga tidak lari daripada suasana desa sepertimana sahabat saya itu. Masih lagi dalam ingatan, kami anak-anak kampung bermain polis tantri, tuju kasut/botol tin dan permainan tradisi anak ayam, aci ligan serta ketinting. Saya dan sepupu pernah memasuki hutan di sebelah sungai tempat tumbuhnya pokok bomban untuk kami jadikan peluru bagi senapang kayu yang diikat dengan getah. Kenangan memancing di sungai belakang rumah juga tidak dilupa. Sudah menjadi kegemaran saya untuk menyediakan sebuah tempurung kelapa yang kering (sudah lama dibuang) sebagai mangkuk untuk diletakkan umpan pepatung dan belalang. Pepatung ditangkap sendiri menggunakan kayu yang hujungnya diikat dengan plastik. Begitu juga halnya dengan belalang hijau yang banyak hidup meliar di pokok keladi di tepi sungai. Spesies pepatung yang besar pula seperti patung askar, patung oren, merah dan kuning selalunya lebih mudah ditangkap menggunakan tangan. Ada masa tertentu kami pergi ke kedai akuarium untuk membeli cacing dan cengkerik. Ada kalanya kami mencangkul sendiri tanah yang basah untuk mencari cacing tanah bagi dibuat umpan mengail puyu, selat dan haruan.
Ikan selat yang kini makin pupus dari sungai belakang rumah di kampung. Kredit gambar di sini.

Kitakah Yang Membina Rumah Itu? (Bahagian 1)

Selepas melihat ikon mesej facebook yang bernotifikasi merah tertera menandakan ada sebuah mesej yang belum dibaca, butang mouse terus meng-klik pada ikon itu. Sungguh tidak dijangka akan siapakah pemberi mesej tersebut, kerana kebanyakan contact saya dan seorang sahabat ini sebelumnya hanya melalui SMS, bukannya facebook. Di sini dikongsikan perkataan beliau:


Sahabat saya ini
Dah kahwin ke belum
Suka duka tawa sedih marah kecewa gembira semua rasa bersama
Rindu pulak kat sana


Beliau merujuk pada zaman perkenalan kami di UK dulu. Terus terang, biarpun saya membalas mesej tersebut dengan agak ringkas, sebenarnya perkataan beliau itu membekas di benak fikiran, membawa kembali diri penerima mesej ini ke saat-saat bergelar perantau di negeri orang. Satu ketika dulu.

UK ibarat rumah pertama bagi saya. Rumah yang di dalamnya saya belajar membesar. Membina dan mencari erti. Dengan berbekalkan sumber wang poket yang lebih dari cukup, segala keperluan fizikal tidak menjadi masalah sewaktu di sana. Semuanya ditanggung beres. All we had to do was just to live. And to learn. And so I did.


* * *


Menyentuh subjek tentang rumah, ini mengingatkan saya pada lagu The House That Built Me. Lagu ini ber-genre 'country' dan pada asalnya dinyanyikan oleh seorang penyanyi wanita. Walau bagaimanapun, yang menjadi lebih sedap untuk halwa telinga adalah nyanyian cover daripada penyanyi (lelaki) James Dupre.


Lagu The House That Built Me ini menceritakan tentang seorang yang sudahpun menempuh hidup sebagai seorang dewasa. Namun pada satu hari beliau terasa seperti ada kekosongan dalam diri, lalu beliau mengambil keputusan untuk pulang sebentar ke desa halaman tempat asalnya. Demi mencari semula bilah-bilah waktu yang lalu, yang membina siapa dirinya kini. Setibanya beliau ke tempat asalnya dulu, rumah yang satu masa dulu menjadi tempat permainan, saksi kepada masa-masa jatuh dan bangun sejarah hidup beliau beserta keluarga beliau dulu, kini sudahpun didiami oleh pemilik yang baru.


Kredit gambar di sini.

comments powered by Disqus