Tuesday, January 06, 2015

Min Al-Qalb (From the Heart)

Makna di sebalik perkataan hidayah atau al-Huda ialah guidance, atau petunjuk. Al-Quran mengistilahkan penurunan serta kandungan mesejnya sebagai sebuah PETUNJUK.

"Alif Lam Mim. Itulah kitab (Al-Quran) yang tiada ragu baginya. Petunjuk bagi insan bertaqwa."
(Al-Baqarah: 1-2) 


Maka dari sini kita dapat refleksi diri bahawa untuk menjadi seorang yang dihidayahkan dengan sebenar-benar Islam, bukan muslim hanya pada nama, seseorang itu perlu ada rasa tidak selesa dengan apa yang ada. Lalu dengan itu beliau melakukan pencarian. Mencari sesuatu untuk penambahbaikan.

Adalah susah untuk menjadi seorang yang mencari andai segala kehidupan kita terlalu selesa, ibarat dunia seperti syurga. Maka hatinya berkata "Suka hati aku lah nak buat apa dengannya."

Nabi sallallahu alayhi wasallam sebelum diangkat menjadi Rasul, melakukan sebuah pencarian dalam hidupnya. Disebabkan rasa tidak selesa dengan masyarakat Mekah yang menyembah Allah tetapi pada masa yang sama juga berserah diri pada berhala dan superstitious belief, maka baginda berkurung diri di Gua Hira'. Demi mencari damai di hati. Jauh dari segala yang menyesakkan dada nurani.

Kata kuncinya adalah mencari. Adakah patut kita cukup selesa dengan kehidupan sehingga kita berhenti mencari?

Carilah.

Keutarakan persoalan-persoalan penting pada diri. Tanya hati, apa tujuan hidup ini. Ke mana hala tuju selepas ini. Apa tugas aku di dunia ini. 

Barulah fungsi al-Quran sebagai petunjuk benar-benar kita angkat sebagai seorang yang bergelar muslim.

Kredit gambar di sini.

Jadilah seperti Eep dalam filem animasi The Croods - filem yang secara zahirnya tampak seperti diolah daripada analogi The Cave oleh ahli falsafah terkenal, Plato. Filem ini mengisahkan keberanian untuk keluar daripada kepompong keselesaan dan paradigma kehidupan harian yang berkisarkan kehidupan di dalam gua kepada kebebasan, keluasan dan keindahan dunia di luar. Dari perspektif seorang muslim, kita boleh analogikan 'gua' itu sebagai keselesaan hidup tidak bertuhan secara menyeluruh dalam hidup seharian, walaupun beragama (Islam). Dan kita keluar daripada 'gua' itu lalu mengembara mencari misi hidup dan mendekati tuhan. Supaya akhirnya kita tahu bahawa agama Islam (agama kita sendiri) yang selama ini kita anggap mengongkong, sebenarnya adalah sebaliknya. Agama ini penuh indah. Tapi sayang ia indah hanya untuk yang menjumpainya. Dan kita tidak menjumpai andai tidak berani keluar daripada kepompong keselesaan. Ia perlu dicari untuk ditemui.




comments powered by Disqus