Wednesday, July 16, 2014

Quraish Shihab Tidak Keliru (Bahagian 2 - Akhir)

BEDAHSIASAT SEBELUM DAN SELEPAS

Bagi melihat kenyataan Prof. Quraish Shihab dengan adil, perlu lihat kepada konteks perbualan antara beliau dengan pengacara rancangan. Sebelum kenyataan kontroversi itu dikeluarkan, mari kita lihat bagaimana soalan ditanyakan di dalam Bahasa Indonesia kepada Prof. Q.S. (lebih kurang pada minit ke-19 jika dilihat video penuh di YouTube);

"Tentang kemuliaan di sisi Allah, Pak Quraish. Nabi Muhammad kan sudah dijamin manusia paling mulia, (manusia) yang masuk syurga. Untuk kita-kita, manusia yang hidup zaman sekarang (orang awam) ataupun masa yang akan datang, apakah ada kemungkinan untuk bisa/boleh mengejar status begitu?"

Juruacara tersebut membandingkan manusia biasa dengan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam dan beranggapan bahawa tidak mungkin insan biasa dapat menandingi status seorang Rasul untuk melayakkannya mendapat syurga Allah. Makanya, Prof. Quraish pun cuba membetulkan tanggapan yang mengatakan bahawa status seorang Rasul itu melayakkan Nabi Muhammad masuk ke syurga. Sebab itulah Prof. tidak berhenti setakat mengatakan bahawa Nabi Muhammad tidak dijamin syurga. Malah selepas membuat kenyataan kontroversi itu, Prof. membawakan hadith yang membawa kepada makna syurga hanya hak mutlak Allah. 

Pepatah Inggeris ada menyebut, education is a right, not a privilege. Ertinya, pendidikan adalah sebuah hak awam, bukan hak istimewa sesebuah golongan sahaja. 

Begitu juga jika diumpamakan kepada syurga. Syurga adalah privilege Allah. Hak mutlak, hak prerogatif, dan hak istimewa Allah semata-mata. Sesiapa sahaja yang diizinkan oleh Allah untuk syurga-Nya akan mendapat syurga, tanpa mengira status manusia itu rasul atau tidak. Jika seseorang itu masuk ke syurga hanya kerana status sebagai seorang Rasul, maka syurga bukan hak istimewa Allah lagi, tapi hak Rasul juga! Itulah yang ingin disampaikan sebenarnya.

Nanti dulu! 

Kalau begitu, mungkin akan ada yang bertanya: Kalau Rasul tak dijamin syurga, mana kita nak letak semua nas-nas yang mengatakan Nabi Muhammad dijamin syurga?

Ya memang benar jika diambil kenyataan Prof. secara literal bahawa Rasulullah tidak dijamin syurga, maka kita akan mengatakan Prof. membuat ajaran sesat. Ada sesetengah perkara didalam dunia ini tidak boleh difahami secara literal. Selepas Prof. membuat kenyataan tersebut, Prof. ada membawa nas-nas yang mengatakan bahawa Nabi Muhammad telah terjamin syurga oleh Allah. Maknanya, lafaz "Nabi Muhammad tidak dijamin syurga" tidak membawa kepada makna literal, tapi perlu diletakkan di dalam konteks perbualan yang betul. 

Secara maknawi, lafaz "Nabi Muhammad tidak dijamin syurga" itu maksudnya adalah:

Nabi Muhammad tidak dijamin syurga hanya kerana dia seorang Rasul.

* * *
Memang mudah untuk kita menunjuk kesalahan yang tampak seperti sudah jelas. Padahal yang kita lihat seakan-akan kesalahan itu bukanlah sebuah kesalahan, sebaliknya kita yang salah faham.

Kredit gambar di sini.

Sepertimana ketika melihat dengan jelas air di atas jalan raya yang panas. Makin kita memandu menghampirinya, makin air itu hilang dari pandangan. Kerana yang sebelumnya kita nampak jelas ianya air, rupa-rupanya cuma fatamorgana yang menipu diri!
comments powered by Disqus