Tuesday, August 13, 2013

Berhenti Sejenak Bersama Kit-Kat

Obses memberi makna asyik dan teruja dengan sesuatu. Ada orang obses dengan sukan-sukan tertentu, ada orang obses dengan makanan. Tak kurang juga ada yang obses dengan komputer riba, belum masuk lagi obses terhadap gadget - smartphone dan sebagainya.

Saya pernah obses dengan tatabahasa dan gaya penceritaan al-Quran. Pernah dulu sangat banyak buku tentang Al-Quran dibeli. Setiap kali menyelak helaian buku-buku tersebut, jika tiada point yang dicari, terus diselak lagi dan lagi. Begitu cepat sebuah buku habis dibaca.

Namun masa mengubah segalanya.

Wednesday, August 07, 2013

Seorang Graduan dan Secebis Pengalaman (Bahagian Akhir)

"Ya Allah, ana mintak bagilah ni kali terakhir ana transit di Dubai," lebih kurang begitu seruan hati pada Dia. Tujuan di sebalik doa itu sebenarnya bermaksud untuk mendoakan supaya saya dapat grad dengan berjaya tanpa perlu mengulang tahun. (Alhamdulillah, doa dimakbulkan setahun selepas itu).

Penerbangan dari Dubai ke Birmingham International Airport mengambil masa 7 jam. Saya mengambil keputusan untuk tiba awal di Selly Oak untuk selesaikan urusan rumah-rumah sewa saya dan bakal-bakal junior tahun tersebut. Sementara menunggu semester baru untuk tahun terakhir bermula, banyak perkara terlintas menjenguk fikiran. Semuanya perihal masa depan. Masa depan yang membuatkan fikiran berkecamuk dan tidak senang hati. Namun semua itu terubat seketika bilamana hati yang kosong pada waktu itu diisi dengan dakapan ukhuwwah.

"Brother Hamid, how are youuuuuu..?" tanya saya pada pakcik Hamid, ahli tetap masjid Jalalabad, sambil kemudiannya kami berpelukan. Itulah pelukan paling lama dan paling erat sepanjang saya hidup di muka bumi ini. Pelik tapi benar, tapi itu juga pelukan paling menyentuh hati.

Di dalam masjid Jalalabad.
Lebih kurang tiga bulan tidak bertemu, ditambah lagi dengan keadaan hati yang tidak tenang pada waktu itu, pertemuan dengan beliau menyebabkan kekosongan dalam diri terisi. Sekurang-kurangnya untuk seketika. "Have you been making du'a for me?" hati saya berbisik, bertanya tanpa suara. Entah kenapa, tapi terasa pada waktu itu saya sangat perlu kepada sokongan doa dari saudara seagama. Dari mereka yang bersujud pada tanah yang sama dan bernafas pada nafas syahadah yang senada. Yang beriman kepada Dia yang sama dan dengan iman itu dizahirkan ingatan masing-masing dalam doa. Dalam masa yang sama, terlontar persoalan kepada diri sendiri, "Have I been making du'a for them?"

Sejak daripada itu, sentiasa saya ingatkan pada diri, seandainya saya harapkan insan lain mendoakan saya, saya sendiri perlu mendoakan mereka. Insya Allah jika semua orang berfikir sebegitu, tidakkah dunia ini penuh dengan kasih sayang?

Tuesday, August 06, 2013

Seorang Graduan dan Secebis Pengalaman (Bahagian 5)

Tiga tahun lamanya di bumi UK, sekali pun tidak pernah saya temui Mahadi (bukan nama sebenar), rakan satu sekolah yang menyambung pelajaran di London. Sehinggalah pada hari-hari terakhir sebelum pulang bilamana saya meminta bantuan beliau untuk membawa keluarga melawat beberapa tempat di ibukota UK itu.

Tempoh tiga tahun tidak bertemu seseorang merupakan tempoh yang lama. Dalam selang masa tersebut, banyak perkara yang telah ditempuh. Perkara yang mengubah kita dari dalam, dan juga apa yang terzahir di luar. Pada diri rakan saya itu, perubahan fizikal beliau kepada watak baru yang berjanggut dan berjambang begitu ketara. Perwatakan beliau juga dapat dikesan perubahannya, daripada baik kepada lebih baik. Syukur.

Saya masih ingat lagi keadaan diri sewaktu tahun pertama menjejak kaki ke UK. Pada waktu itu, tubuh badan empunya diri sedikit besar, dibawa bersama hati yang kecil. Setelah tiga tahun, hasilnya kini tubuh badan yang kecil berbanding dulu, tapi (harapnya) berjiwa besar. Saya masih ingat nasihat yang disampaikan oleh seorang ustaz di radio satu waktu dahulu:

"Jadilah orang yang berjiwa besar. Berjiwa besar bukan bererti kita membesarkan diri. Tapi ertinya kita melihat sesuatu yang kecil itu sebagai sesuatu yang besar. Kita melihat dosa yang kecil sebagai sesuatu yang besar, maka kita pun meninggalkannya. Kita melihat sekecil-kecil perbuatan yang baik sebagai sebesar-besar ganjaran pahala, maka kita pun melaksanakannya."
comments powered by Disqus