Saturday, May 18, 2013

Where the Grass is Greener (Belajar di Luar Negara?)

Orang putih ada mencipta satu pepatah yang berbunyi, the grass is always greener on the other side. Memang dalam banyak keadaan, manusia akan memikirkan bahawa mereka akan lebih gembira jika berada dalam keberadaan diri di dalam zon hidup yang di-idamkan, berbanding berada di zon semasa. Sejauh mana ini benar? Terpulang kepada pengalaman hidup masing-masing.

Statistik pencarian Google untuk Blog Ilal Firdaus.

Sejak Malaysia menghantar bakal-bakal graduan siswazah di luar negara pada tahun 70-an, sudah pastinya banyak bekas-bekas pelajar yang pulang ke Malaysia sudahpun berkongsi pengalaman belajar di universiti masing-masing.

Di Canada, para pelajar terpaksa menghadapi musim sejuk serendah -50 darjah Celcius. Di Rusia, para pelajar hidup dalam sistem ala Rusia, di mana sistem perbankan dan ekonomi agak berbeza daripada negara Malaysia.

Di Indonesia, pakcik penjual nasi memang kenal sangat dengan muka-muka pelajar Malaysia yang suka meminta kuah bila membeli nasi, kerana di sana nasi tidak dihidangkan dengan kuah. Malah ada di beberapa lokasi, bekalan air bersih tidak ada.

Di UK pula, bekalan air bersih diberikan dengan mudah. Kami tidak perlu menjerang air paip untuk meminumnya. Kecuali di London, air paip di sana perlu disaring terlebih dahulu dengan water filter. Walau bagaimanapun, air panas dari paip tidak boleh diminum terus. Perlu dijerang dahulu sebelum diminum.

Di Jordan dan Mesir, sebahagian pelajar Malaysia yang mengambil jurusan medic boleh memahami bahasa Arab tempatan dan bahasa Arab baku, tetapi belum tentu mereka boleh berkomunikasi dengan fasih. Di India, harga mayat manusia terlalu murah, menyebabkan bekalan cadaver terlalu banyak. Mereka yang mempelajari jurusan medic sudah bosan melihat mayat.

Di Ireland, para pelajar Malaysia tahun pertama pasti pening setiap kali menaiki bas awam, kerana di Malaysia bas disebut dengan sebutan English baku, iaitu bus (=bas), tetapi di sana bas disebut bus (=bus) (seperti dalam perkataan gabus).

Macam-macam ragam. Macam-macam pengalaman.

"Why do you want to go oversea?" saya disoal oleh interviewer.

Saya masih ingat akan jawapan saya ketika itu, tetapi tidak akan dikongsikan di sini. Tapi kesempatan ini saya ambil untuk berkongsi apa yang telah saya dapat, setelah 3 tahun berkelana.

Pengalaman.

Ya.

Pengalaman boleh dicari di mana-mana, walaupun di Malaysia. Tetapi pengalaman berbeza sifatnya mengikut individu, tempat, masa dan keadaan. Pengalaman yang paling indah adalah yang sifatnya bukan sahaja mendewasakan hidup, tetapi mendewasakan kehidupan. Hanya yang telah melaluinya sahaja yang akan angguk dan faham apa yang ditulis di sini.

Apapun, pengalaman tidak terbukti jika tidak diuji. Bukti kepada pengalaman belajar di luar negara akan terserlah apabila bersemuka dengan ujian setelah pulang nanti.

Ujian alam pekerjaan dan alam kekeluargaan.

Di bumi orang, kita menanam dan membaja. Di bumi tempat pulang, kita menyemai hasilnya.

This time, the grass will be greener on our side. Tiada ringgit yang dapat membeli masa, peluang dan pengalaman belajar di sana. Tapi akhirnya camar pasti pulang ke sarang. Bak kata Dr. Asri di dalam artikel beliau yang bertarikh 16 Mei 2013:

Orang Melayu bermadah ‘tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain’. Tanahair ialah tempat kelahiran kita dan keluarga. Membesar dalam persekitarannya. Mencium udaranya. Meminum airnya. Memakan makanannya. Melihat budaya, warna dan rupa saban masa dalamnya. Lebaran kenangan diari kehidupan yang tersimpan tentangnya.

Perjalanan kita sememangnya masih jauh.
comments powered by Disqus