Friday, April 12, 2013

Tadabbur Surah ar-Rahmaan Bersama Ustaz Nouman Ali Khan [Bahagian 5]


Musim luruh, University of Birmingham.
Di UK pun ada pokok bunga Sakura!
Sakura putih.


Post kali ini mengingatkan saya kepada sebuah siri berbahasa Mandarin yang disiarkan di TV3 satu ketika dulu yang berjudul Plum Flower Scar. Disebabkan ayat tadabbur seterusnya berkaitan dengan bunga dan tumbuh-tumbuhan, terpaksalah saya menjadi mat bunga kali ini. Nah, di bawah ada lagi beberapa gambar yang sempat di-snap oleh handset Optimus saya sewaktu cuti musim bunga di Venice dan cuti musim panas di Malaysia pada tahun 2012.



Di Venice (Venezia mainland)
Sewaktu kami berlegar-legar di salah satu tempat di sana.
Daun berlatarbelakangkan bangunan.
Bunga kaca yang menarik perhatian lensa kamera. Kita dapat lihat bagaimana manusia mendapat sumber inspirasi daripada alam sekitar untuk mencipta sesuatu yang sama. Walau hakikatnya tidaklah sama.
Kedai buah-buahan di Venezia.
Di Malaysia. Buah yang saya namakan buah letup sewaktu zaman kanak-kanak dulu. Buah ini dipetik lalu ditekan dengan jari untuk meletupkannya.
Di dusun datuk di Kampung Gajah Mati, Kedah. Buah-buah manggis yang buruk jatuh menyembah bumi.
Adik bongsu, Muhammad Daniel. Proses menggalah buah rambutan bersama keluarga bermula!
Rambutan manis sedia dimakan!
Gambar-gambar seterusnya mungkin lebih dekat kaitannya dengan apa yang akan kita tadabbur-kan kali ini, insya Allah.

Pemandangan sawah padi di sebuah tempat di Daerah Kubang Pasu. Manusia memerlukan nasi. Nasi diberikan dalam bentuk beras. Beras datangnya daripada sawah bendang yang menghijau. Apa hikmah di sebaliknya? Teruskan membaca.
Sarang burung di dusun datuk. Walaupun dikelilingi pohon berduri, tapi ada kehidupan baru yang lahir di celahnya. Masha Allah ...
Pokok bunga kantan. Simple dan cantik. Dalam hidup, tidak semestinya yang kompleks dan serba lengkap itu indah. Indah datang dari hati. Hati yang indah akan melihat sesuatu dari kaca mata hikmah dan keindahan.
Jantung pisang. Boleh dibuat ulam.
Moktan!
Manggis. Umpama manusia yang gelap kulitnya, tapi putih dan manis hatinya.
Masih ingat lagi artikel Kung Fu Panda? Pastikan anda membacanya sebelum menyambung bahagian 5 ini. Terdapat kaitan antara artikel itu dan artikel kali ini. Klik di sini untuk pautan artikel Review Kung Fu Panda The Series.


Pada bahagian penutup artikel tersebut, pengajaran yang dapat diambil ialah kebahagiaan pada kaca mata seseorang penerima hadiah bergantung kepada siapa yang memberikan hadiah. Hadiah itu sendiri bukanlah perkara yang utama.

Tetapi, bila kita bercakap tentang hadiah, sudah tentu ada pemberi dan penerima. Jika tadi kita melihat dari sudut penerima, sekarang saya alih pula kepada sudut pemberi.

Masih ingat lagi Bahagian 3 ?

Kalimah لِيَدَّبَّرُوا  pada ayat ke 29 surah as-Sad memperlihatkan kepada kita unsur exaggeration pada kalimah tersebut, di mana terdapat tanda syaddah (yang sebenarnya menandakan ada dua huruf dal dan huruf ba'). Kalimah liyaddabbaru memberi erti 'untuk mereka renungkan dengan mendalam.' Dengan sebetul-betul dan sedalam-dalam renungan dan fikiran tentang maksud dan penghayatan makna ayat-ayat al-Quran. 

Dan surah ar-Rahmaan dimulakan dengan satu ayat yang pendek, yakni ayat ar-Rahmaan itu sendiri. Satu kalimah sahaja, cukup menjadi satu ayat. Allah mahu hamba-hamba Nya merenung dengan mendalam akan sifat ar-Rahmaan Nya.

Seperti yang saya tulis di Bahagian 3 dulu, ar-Rahmaan membawa tiga konotasi makna. Ianya mencakupi sifat penyayang, pengasih dan pelindung. Apa kaitan antara ketiga-tiganya?

Kesemua sifat ini ialah sifat seorang pemberi.

* * *

Fokus kita pada kali ini ialah Surah ar-Rahmaan ayat yang ke-11 dan ke-12, rentetan daripada tadabbur ayat sebelumnya yang telahpun kita telusuri di artikel keempat (klik di sini). Sebelum ini, ayat yang kesepuluh menceritakan bagaimana Allah membentangkan bumi untuk semua makhluk yang bernyawa. Setiap spesies mempunyai habitat masing-masing. Kemudian Allah menyambung ayat seterusnya dengan memberikan huraian tentang apa yang ada di bumi.

"Di dalam bumi ada buah-buahan dan pohon kurma yang berkelopak mayang.''

''Dan biji-bijian yang berkulit, dan bunga yang harum baunya.''

Insya Allah pada artikel yang lain akan saya kongsikan apa hikmahnya Allah menggunakan huruf jarr 'فى' (di dalam) dan bukannya '' على '' (di atas) bumi.

Fokus kita untuk kali ini adalah description kepada tumbuh-tumbuhan tersebut.

Pertama, Allah menyebut buah-buahan dan pohon kurma. Jika kita teliti akan perkataan فَاكِهَةٌ (buah-buahan), dan النَّخْلُ (pohon kurma), buah-buahan datang dalam bentuk nakeerah (indefinite noun), memberi makna umum, mencakupi semua jenis buah-buahan. Semua buah yang mempunyai biji akan ada pelindungnya. Dan seed coat inilah apa yang kita ambil dan makan. Tetapi pohon kurma datang dalam bentuk ma'rifah (definite noun). Maknanya, Allah sedang bercakap tentang sebuah pohon yang spesifik, iaitu pohon kurma. Ingat, audiens pertama ayat ini ialah umat Nabi Muhammad yang sezaman dengan baginda yang tinggal di padang pasir. Di zon sedemikian, pohon kurma ialah sesuatu yang biasa dilihat. Kedua-dua kata nama ini diperincikan dengan huraian ذَاتُ الْأَكْمَامِ (yang berkelopak mayang). Seolah-olah Allah sedang berkata, ''Lihatlah, pada umumnya, semua buah-buahan Aku sediakan untuk kamu semuanya berkelopak (=berpelindung). Buktinya, tengoklah apa yang ada di sekitar kamu, misalnya pohon kurma itu.''

Seterusnya, Allah menyebut biji-bijian yang berkulit. Akhir sekali, Allah menyebut bunga yang harum baunya.

* * *

Jadi, apa peri pentingnya Allah menyebut semua ini?

Dalam ayat 11 dan 12 Surah ar-Rahmaan, semua perkara di atas boleh dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, kategori keperluan. Kedua, kategori bonus.

Manusia memerlukan makanan. Kurma dan buah-buahan itu merupakan contoh kepada makanan. Tanpa makanan yang merupakan hadiah dari Allah, manusia mati.

Tetapi lihat bagaimana Allah menghias makanan untuk kita. Ustaz Nouman Ali Khan memberikan analogi penternak dan binatang ternak. Seorang penternak, misalnya penternak kuda, akan memberikan rumput kering dengan cara melonggokkannya di atas tanah untuk dimakan kuda-kudanya. Tetapi tidak bagi Allah. Dengan sifat ar-Rahmaan Allah, Dia memberi manusia makan dengan cara yang terhormat. Walau sebenarnya tak perlu pun Allah buat semua itu.

Allah hiaskan keperluan-keperluan kita dengan sesuatu yang tampak indah di mata. Lidah sedap merasa, mata pula senang melihat. 

Nampak tak sayangnya Dia pada hamba-hamba Nya?

Subhanallah!

You can tell that someone loves you by the signs of giving extra effort in giving you something. And there is no better giver other than Ar-Rahmaan!
comments powered by Disqus