"Ya Allah, ana mintak bagilah ni kali terakhir ana transit di Dubai," lebih kurang begitu seruan hati pada Dia. Tujuan di sebalik doa itu sebenarnya bermaksud untuk mendoakan supaya saya dapat grad dengan berjaya tanpa perlu mengulang tahun. (Alhamdulillah, doa dimakbulkan setahun selepas itu).
Penerbangan dari Dubai ke Birmingham International Airport mengambil masa 7 jam. Saya mengambil keputusan untuk tiba awal di Selly Oak untuk selesaikan urusan rumah-rumah sewa saya dan bakal-bakal junior tahun tersebut. Sementara menunggu semester baru untuk tahun terakhir bermula, banyak perkara terlintas menjenguk fikiran. Semuanya perihal masa depan. Masa depan yang membuatkan fikiran berkecamuk dan tidak senang hati. Namun semua itu terubat seketika bilamana hati yang kosong pada waktu itu diisi dengan dakapan ukhuwwah.
"Brother Hamid, how are youuuuuu..?" tanya saya pada pakcik Hamid, ahli tetap masjid Jalalabad, sambil kemudiannya kami berpelukan. Itulah pelukan paling lama dan paling erat sepanjang saya hidup di muka bumi ini. Pelik tapi benar, tapi itu juga pelukan paling menyentuh hati.
 |
Di dalam masjid Jalalabad. |
Lebih kurang tiga bulan tidak bertemu, ditambah lagi dengan keadaan hati yang tidak tenang pada waktu itu, pertemuan dengan beliau menyebabkan kekosongan dalam diri terisi. Sekurang-kurangnya untuk seketika. "Have you been making du'a for me?" hati saya berbisik, bertanya tanpa suara. Entah kenapa, tapi terasa pada waktu itu saya sangat perlu kepada sokongan doa dari saudara seagama. Dari mereka yang bersujud pada tanah yang sama dan bernafas pada nafas syahadah yang senada. Yang beriman kepada Dia yang sama dan dengan iman itu dizahirkan ingatan masing-masing dalam doa. Dalam masa yang sama, terlontar persoalan kepada diri sendiri, "Have I been making du'a for them?"
Sejak daripada itu, sentiasa saya ingatkan pada diri, seandainya saya harapkan insan lain mendoakan saya, saya sendiri perlu mendoakan mereka. Insya Allah jika semua orang berfikir sebegitu, tidakkah dunia ini penuh dengan kasih sayang?