Monday, June 04, 2012

Dua Tahun di Birmingham Bertuah

Tahun ini tahun 2012, sudah genap satu perlima dasawarsa lamanya kaki dijejakkan di Birmingham, England. Mungkin jarak masa dua tahun pada sebilangan manusia akan terisi dengan aktiviti mengumpul barangan yang disukai. Sekadar hobi, atau mungkin juga untuk dibawa pulang ke Malaysia sebagai souvenier.

Ada yang saya tahu sangat gemar mengumpul duit syiling Great Britain Pound. Bagi mereka yang hidup sehariannya di UK ini tidak pernah berenggang dengan kereta api di tempat masing-masing yang digunakan untuk ke universiti atau ke bandar berdekatan, ada di antara mereka ini suka mengumpul pas-pas atau tiket perjalanan. Ada yang mencecah tebal beberapa naskhah al-Quran! Bukti betapa kerapnya para pelajar mengembara. Bumi UK di benua Eropah yang jauh dari kampung halaman tidak lagi terasa seperti bumi yang asing.


Di kala yang lain sibuk mengumpul objek-objek, saya di sini sibuk mengumpul bilah-bilah hari. Hari-hari lalu yang sudah pergi, dan juga hari-hari yang tinggal. Di sebalik bilah-bilah hari di dalam lembaran hidup, di situ ada kenangan terindah. Di sebalik bilah-bilah waktu, di situ ada memori. Memori suka dan duka kehidupan seorang yang marhaen; insan biasa yang di kelilingnya berlaku perkara-perkara luar biasa. Perkara-perkara yang menjadi acuan, membentuk siapa saya yang baru, hari demi hari.

Bilah-bilah hari boleh meninggalkan kita. Tetapi memori dan pengalaman tidak!


ANTARA TEMAN DAN SAHABAT


Dua tahun berada di bumi Birmingham, saya belajar untuk keluar dari dunia yang lama. Masuk ke dunia baharu. Di sini saya mengenal erti 'pendidikan hidup' yang sebenarnya. Di sini saya belajar untuk menjadi manusia yang punya visi dan misi hidup untuk dibawa. Di sini jua saya mengenal insan-insan luar biasa! Insan-insan yang hidup dalam pelbagai variasi keinsanan. Sukar untuk tangan ini menaip menggambarkan karakter-karakter mereka. Namun mereka dapat kita kenal melalui kuntum-kuntum senyuman di bibir masing-masing.

Kredit gambar di sini.
Ada yang senyumannya  panjang hingga ke telinga. Ada yang pendek dan singkat, kerana senyumannya mungkin mahal untuk dikeluarkan. Ada senyuman yang manis dan riang, persis seorang bayi yang baru saja dilahirkan. Tidak kurang juga ada yang tersenyum sinis, ada juga yang senyumnya menyejukkan hati. Ada senyum yang misteri, ada yang senyumannya beragenda. Ada yang persis matang seperti seorang bapa bila tersenyum, ada pula yang senyum mengawal macho. Ada juga tiga orang yang senyum mereka pelanduk tiga serupa, tidak kurang juga ada yang cuba-cuba senyum. Inilah gelagat-gelagat senyuman kami. Saling tersenyum, walau kekadang ada senyum yang berbalas cuka, itulah rencah hidup.


Setiap daripada mereka sangat dekat di hati. Sungguh hidup terlalu singkat untuk bermusuhan.

Ada antara teman-teman ini saya angkat menjadi sahabat. Puas mencari di seluruh padang, ada beberapa batu bernilai yang sempat dikutip. Tibanya saya di hujung padang, terasa sesuatu yang kosong di sebalik hati kecil ini. Bila pandangan ditoleh semula ke belakang, terlihat sebuah batu yang cukup berharga. Batu yang terlepas pandang selama ini. Itulah dia, seorang sahabat yang bila melihat wajahnya, mengingatkan diri ini kepada Allah. Kata-katanya menambahkan ilmu, tingkah lakunya mengingatkan saya kepada akhirat. Dialah yang dicari-cari selama ini. Mengenalinya sahaja sudah cukup bermakna dalam kehidupan sesingkat ini.

Sahabat saya ini pernah menulis sesuatu yang mengingatkan saya kepada sifat kehidupan di dunia:



Life is like an ice..
It is continuously melting..
Every second,
Every minute,
Every hour,
Every day..
Until the time comes,
That it is finally finished..





Hidup sesingkat ini. Tiada gunanya membuatkan sesiapa pun di sekeliling kita tersisih dan tersingkir ke tepi.


SISA-SISA HARI YANG TINGGAL

Beberapa hari yang tinggal sebelum tamatnya tahun akademik 2012 ini dihabiskan dengan mencari ketenangan. Musim panas dengan suhu purata 22-26 Darjah Celcius ini memang menarik keinginan untuk menikmati secangkir Nescafe sejuk dan biskut di Selly Park, Selly Oak, Birmingham.

Rakan saya, Rasydan Fitri, sedang asyik membaca buku Life of the Prophet in Makkah karangan Zakaria Bashier.


Kami mencari satu sudut yang sesuai di celahan ramai warga Eropah yang separuh telanjang. Ada yang bermain frisbee, ada yang ber-juggle dengan botol dan tali, ada yang membaca buku, ada yang bermesra-mesraan. Ada anak kecil Pakistan yang usianya mungkin 4 tahun, menghentak-hentak kaki sambil melihat dengan penuh sayu akan sebuah van aiskrim yang bergerak pergi meninggalkan kawasan padang. Kecewa dan terkilan dek kerana ibu dan bapanya tidak mahu membelikan aiskrim. Ada anak-anak yang bermain-main sesama mereka. Sekali sekala ada anjing comel melintas kawasan kami.

Di celahan semua itu, diri ini tenang membaca buku yang dibawa. Tajuknya, Menyukat Ikhlas Diri, karangan Misbah Em-Majidy.
Sekali sekala, pandangan dilontarkan ke arah langit biru tanpa awan. Meski pandangan jauh direnung ke langit biru yang tinggi, namun saya merenung dalam, jauh ke dasar hati, memikirkan apa status tuan empunya diri ini dengan Penciptanya.
 


* * *

Perjalanan mencari ketenangan diteruskan dengan kembara di Birmingham City. Sudah tentu riuh hiruk dan pikuk kota Birmingham bukanlah lokasi paling sesuai. Maka kaki terus melangkah ke sebuah kawasan berhampiran dengan pusat bandar. Kawasan yang mengingatkan saya kepada jaulah musim bunga di kepulauan Venice, Italy setahun yang lepas.



Menikmati keindahan alunan musika jalanan, persis kenangan di keheningan malam Piazza San Marco, Venice.
comments powered by Disqus